Potongan Cukai bagi Dokumentasi Harga Pindahan di Malaysia
1.
Adakah perbelanjaan yang dilakukan berkaitan dengan penyediaan Dokumentasi Harga Pindahan Semasa skop penuh atau skop minimum (selepas ini dirujuk sebagai “DHPS”) boleh ditolak di bawah Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan bagi Perbelanjaan berhubung dengan Pemeliharaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) 2025 [P.U.(A) 193/2025] (selepas ini dirujuk sebagai “Kaedah-Kaedah ESG 2025”)?
Perbelanjaan yang dilakukan bagi penyediaan DHPS skop penuh dan skop minimum layak diberangkan potongan di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025, seperti yang telah disahkan oleh Kementerian Kewangan. Perbelanjaan tersebut hendaklah dilakukan dalam tempoh asas bagi tahun taksiran (“TT”) 2024 hingga TT 2027, dan DHPS hendaklah disediakan bagi TT 2023 dan TT seterusnya.
Selain itu, penyediaan DHPS hendaklah memenuhi semua keperluan berkaitan yang ditetapkan dalam Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Harga Pindahan) 2023 [P.U.(A) 165/2023] (TPR 2023) Malaysia Transfer Pricing Guidelines (MTPG) 2024 dan Malaysia Transfer Pricing Guidelines Controlled Financial Transactions: Intra-Group Loan (MFTIL) 2026.
2.
Jika saya melakukan perbelanjaan RM60,000 dalam TT 2024 bagi menyediakan DHPS untuk TT 2024, bolehkah saya menuntut keseluruhan RM60,000 di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025? Apakah jumlah maksimum yang boleh ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025?
Subkaedah 3(1) Kaedah-Kaedah ESG 2025 menyatakan perbelanjaan layak yang boleh ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025. Perbelanjaan layak ialah:
-
(1)
perbelanjaan yang dilakukan bagi tujuan pelaporan ESG;
-
(2)
perbelanjaan yang dilakukan bagi tujuan pelaporan Tadbir Urus Cukai Korporat (“TCG”), termasuk perbelanjaan yang dilakukan bagi melantik penyemak semula bebas untuk menyemak pematuhan terhadap Rangka Kerja TCG;
-
(3)
perbelanjaan yang dilakukan bagi menyediakan DHPS;
-
(4)
fi perundingan yang dilakukan oleh perusahaan mikro atau perusahaan kecil dan sederhana bagi pembangunan perisian yang dibuat khas untuk pelaksanaan e-Invois dalam perniagaan, atau bagi mendapatkan penyedia perkhidmatan luar untuk pelaksanaan e-Invois dalam perniagaan tetapi tidak termasuk mana-mana:
-
(a)
perbelanjaan yang dilakukan pada peringkat perancangan atau prosedur awal bagi penyediaan perisian yang dibuat khas itu; dan
-
(b)
fi perundingan yang dilakukan berhubung dengan pengeluaran e-Invois melalui Portal MyInvois.
Subkaedah 3(3) Kaedah-Kaedah ESG 2025 menyatakan bahawa jumlah keseluruhan perbelanjaan yang layak ditolak dalam setiap TT dihadkan kepada RM50,000. Oleh itu, pembayar cukai boleh menuntut perbelanjaan layak sehingga maksimum RM50,000 bagi setiap TT dari TT 2024 hingga TT 2027. Dalam contoh di atas, tuntutan bagi TT 2024 dihadkan kepada RM50,000.
3.
Apakah kebolehtolakan perbelanjaan yang dilakukan berkaitan dengan penyediaan DHPS?
Untuk layak ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025, perbelanjaan bagi penyediaan DHPS hendaklah memenuhi syarat berikut:
-
(1)
perbelanjaan tersebut dilakukan dalam tempoh kelayakan iaitu TT 2024 hingga TT 2027;
-
(2)
perbelanjaan tersebut dilakukan bagi menyediakan DHPS skop penuh atau skop minimum yang memenuhi semua keperluan berkaitan yang ditetapkan dalam TPR 2023, MTPD 2024 dan MFTIL 2026;
-
(3)
DHPS tersebut disediakan bagi TT 2023 dan TT seterusnya; dan
-
(4)
perbelanjaan tersebut tidak termasuk perbelanjaan sampingan, seperti bayaran balik atau perbelanjaan out-of-pocket, termasuk caj ICT, yuran telefon dan internet, perbelanjaan perjalanan, elaun makan dan kos penginapan, yang dianggap sebagai perbelanjaan yang dibenarkan jika kos tersebut dituntut oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri.
Oleh itu:
-
(1)
bayaran balik bagi kos yang dilakukan dalam penyediaan DHPS, seperti pembelian penyata kewangan, yuran carian dan caj Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mungkin layak ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 jika kos tersebut memenuhi semua syarat yang dinyatakan di atas;
-
(2)
bayaran balik perbelanjaan out-of-pocket, seperti caj ICT, yuran telefon dan internet, perbelanjaan perjalanan, elaun makan dan kos penginapan, tidak boleh ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025, kerana perbelanjaan ini boleh dituntut sebagai perbelanjaan yang dibenarkan di bawah subseksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri; dan
-
(3)
fi profesional atau fi yang dibayar kepada penyedia perkhidmatan luar mungkin boleh ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 jika fi tersebut memenuhi semua syarat yang dinyatakan di atas.
4.
Bolehkah perbelanjaan yang dilakukan dalam TT 2024 bagi penyediaan DHPS untuk TT 2022 dan TT 2023 ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025, memandangkan perbelanjaan tersebut dilakukan dalam tempoh kelayakan?
Hanya perbelanjaan yang berkaitan dengan DHPS bagi TT 2023 boleh ditolak. DHPS yang dimaksudkan oleh Kaedah-Kaedah ESG 2025 ialah DHPS yang disediakan di bawah TPR 2023, yang berkuat kuasa mulai TT 2023.
Oleh yang demikian, kos penyediaan DHPS skop penuh atau skop minimum bagi TT 2023 boleh dituntut, manakala kos penyediaan dokumentasi bagi TT 2022 berada di luar skop potongan. Kos tersebut tidak boleh dituntut di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 walaupun perbelanjaan tersebut dilakukan dalam TT 2024, iaitu dalam tempoh kelayakan.
5.
Adakah perbelanjaan boleh tolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 berkaitan dengan penyediaan DHPS termasuk: (a) fi yang dilakukan bagi penyedia perkhidmatan luar menyemak DHPS yang disediakan oleh pembayar cukai; dan (b) fi yang dilakukan bagi penyedia perkhidmatan luar menyediakan analisa perbandingan untuk dimasukkan ke dalam DHPS yang disediakan oleh pembayar cukai?
Kedua-dua kategori fi mungkin layak ditolak di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025. Fi tersebut ialah fi yang dibayar kepada penyedia perkhidmatan luar bagi menyemak DHPS yang disediakan oleh pembayar cukai, dan fi yang dibayar kepada mereka bagi menyediakan analisa perbandingan untuk digunakan dalam DHPS tersebut. Potongan dibenarkan hanya jika setiap syarat berikut dipenuhi:
-
(1)
fi tersebut dilakukan dalam tempoh kelayakan, iaitu bermula dari TT 2024 hingga TT 2027;
-
(2)
fi tersebut dilakukan bagi DHPS skop penuh atau skop minimum yang mematuhi semua keperluan berkaitan dalam TPR 2023, MTPG 2024 dan MFTIL 2026;
-
(3)
DHPS tersebut disediakan bagi TT 2023 atau mana-mana TT seterusnya; dan
-
(4)
fi tersebut tidak termasuk perbelanjaan sampingan, iaitu bayaran balik perbelanjaan out-of-pocket seperti caj ICT, yuran telefon dan internet, perbelanjaan perjalanan, elaun makan dan kos penginapan, kerana perbelanjaan ini dianggap sebagai perbelanjaan yang dibenarkan jika penyedia perkhidmatan menuntutnya untuk diri mereka sendiri.
6.
Apakah yang berlaku kepada tuntutan yang dibuat di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 sekiranya semasa audit, LHDNM mendapati bukti bahawa DHP yang disediakan tidak disediakan secara semasa?
Potongan di bawah Kaedah-Kaedah ESG 2025 bertujuan bagi DHPS yang disediakan secara semasa, selaras dengan TPR 2023, MTPG 2024 dan MGTIL 2026. Sekiranya audit oleh LHDNM menghasilkan bukti bahawa dokumentasi tersebut tidak disediakan secara semasa, tuntutan tersebut mungkin ditolak dan jumlah yang dituntut ditambah balik dalam pengiraan pendapatan larasan bagi TT yang berkaitan. Sekiranya ini menyebabkan terdapat cukai yang terkurang, penalti di bawah subseksyen 113(2) ACP 1967 juga mungkin dikenakan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di https://www.hasil.gov.my/en
Kumpulan KAIZEN, bersama-sama dengan firma sekutunya di Malaysia, bersedia membantu pelangan untuk melaksanakan segala urusan pematuhan ini bagi memastikan syarikat Malaysia anda sentiasa berada dalam status kedudukan yang baik (good standing). Sila hubungi dan berbincang dengan akauntan profesional kami di Kaizen untuk penjelasan lanjut.