Laman Utama   Pengetahuan  Malaysia  Percukaian Malaysia  Perbezaan Antara Elaun Jadual 7A & 7B di Malaysia 

PENGETAHUAN

KONGSI

Perbezaan Antara Elaun Jadual 7A & 7B di Malaysia

Perbezaan Antara Elaun Jadual 7A & 7B di Malaysia

Jadual 7A dan Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967 (selepas ini dirujuk sebagai “ACP”) kedua-duanya memberikan elaun kepada pembayar cukai berkenaan perbelanjaan modal yang dilakukan bagi projek yang layak atau projek yang diluluskan. Jadual 7A memberikan Elaun Pelaburan Semula (“EPS”) kepada syarikat dalam sektor pengilangan dan pertanian, manakala Jadual 7B memberikan Elaun Pelaburan Sektor Perkhidmatan (“EPSP”) kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan.

Kedua-dua elaun ini adalah serupa dalam beberapa aspek, kerana kedua-duanya diberikan ke atas perbelanjaan modal dan ditolak daripada pendapatan berkanun. Walau bagaimanapun, terdapat banyak perbezaan antara kedua-duanya, termasuk tujuan, jenis projek yang layak, syarat kelayakan, proses kelulusan dan tempoh kelayakan. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (selepas ini dirujuk sebagai “LHDNM”) telah mengeluarkan Nota Amalan No. 3/2026 pada 29 September 2026 untuk menjelaskan perbezaan ini, dan artikel ini menggariskan perbezaan tersebut untuk rujukan mudah.

  1. Elaun Pelaburan Semula

    Jadual 7A ACP digubal untuk menggalakkan syarikat perkilangan melabur semula dalam rancangan pemodenan dan menambah kapasiti pengeluaran. EPS diberikan ke atas perbelanjaan modal yang dilakukan ke atas loji, jentera atau kilang yang digunakan untuk projek yang layak, iaitu pembesaran, pemodenan, pengautomasian atau kepelbagaian perniagaan sedia ada dalam aktiviti pengilangan dan aktiviti pertanian.

    Sesebuah syarikat boleh menuntut EPS jika syarikat itu bermastautin di Malaysia, beroperasi bagi tempoh tidak kurang 36 bulan, telah melakukan perbelanjaan modal bagi suatu projek yang layak dalam tempoh asas bagi suatu tahun taksiran (“TT”), dan memenuhi syarat-syarat lain yang berkaitan. Tiada kelulusan bertulis daripada LHDNM diperlukan, kerana tuntutan dibuat melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (“BNCP”) dan tertakluk kepada audit LHDNM.

    EPS tersedia untuk 15 TT berturut-turut, bermula dari TT di mana tuntutan dibuat pertama kali. Elaun ini ialah 60% daripada perbelanjaan modal yang dilakukan dalam tempoh asas, terhad kepada 70% daripada pendapatan berkanun. Sebagai alternatif, EPS boleh ditolak dengan 100% daripada pendapatan berkanun jika projek yang layak mencapai tahap produktiviti yang ditetapkan oleh Menteri Kewangan (selepas ini dirujuk sebagai “Menteri”).

    EPS yang tidak diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh maksimum tujuh TT berturut-turut selepas tamat tempoh 15 TT, dan sebarang baki yang tinggal selepas itu akan diabaikan. EPS Tambahan tersedia bagi tempoh asas TT 2016 hingga TT 2018 kepada syarikat yang tempoh 15 TT tamat sebelum TT 2015 atau dalam TT 2015, dan EPS PENJANA tersedia bagi tempoh asas TT 2020 hingga TT 2024 setelah tempoh 15 TT dan/atau tempoh EPS Tambahan tamat. EPS yang tidak diserap bagi tempoh 15 TT, EPS Tambahan dan EPS PENJANA hendaklah dikira secara berasingan.

  2. Elaun Pelaburan Semula bagi Pengilangan

    Bagi pengilangan, projek yang layak ialah pembesaran, pemodenan, pengautomasian atau kepelbagaian perniagaan sedia ada berkenaan dengan pengilangan suatu produk atau mana-mana produk berkaitan dalam industri yang sama. Syarikat mesti memenuhi definisi “pengilangan” bagi tujuan EPS, yang diperuntukkan di bawah perenggan 9 Jadual 7A ACP.

    Perbelanjaan modal yang layak ialah perbelanjaan modal yang dilakukan ke atas loji atau jentera, tidak termasuk aset untuk pengarah atau kakitangan.

  3. Elaun Pelaburan Semula bagi Sektor Pertanian

    Bagi sektor pertanian, projek yang layak ialah projek pertanian yang dijalankan oleh syarikat bagi memperbesarkan, memodenkan atau mempelbagaikan perniagaan penanaman dan perladangan, tetapi tidak termasuk perniagaan menternak ayam dan itik. Aktiviti pertanian yang layak ialah:
    (1)
    penanaman padi dan jagung;
    (2)
    penanaman sayur-sayuran, umbi dan akar-akar;
    (3)
    penanaman buah-buahan;
    (4)
    penternakan;
    (5)
    peneluran, pembiakan atau pengkulturan hasil-hasil akuatik; dan
    (6)
    mana-mana aktiviti lain yang diluluskan oleh Menteri.

    Perbelanjaan modal yang layak ialah perbelanjaan modal yang dilakukan ke atas:
    (1)
    pembersihan dan penyediaan tanah;
    (2)
    penanaman tanaman;
    (3)
    penyediaan sistem pengairan atau sistem saliran;
    (4)
    penyediaan loji dan jentera;
    (5)
    pembinaan jalan akses termasuk jambatan; dan
    (6)
    pembinaan atau pembelian bangunan (termasuk bangunan yang diperuntukkan untuk kebajikan orang atau sebagai tempat kediaman orang) dan penambahbaikan struktur atas tanah atau struktur lain.

  4. Elaun Pelaburan Sektor Perkhidmatan

    Jadual 7B ACP diperkenalkan untuk menyediakan elaun pelaburan khusus untuk syarikat dalam sektor perkhidmatan, termasuk pengangkutan, komunikasi, utiliti dan subsektor lain yang diluluskan oleh Menteri. Elaun pelaburan ini bertujuan menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan yang penting untuk kesejahteraan awam serta pembangunan ekonomi, dan memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan dengan memberikan insentif kepada syarikat sektor perkhidmatan bagi perbelanjaan modal dalam projek perkhidmatan yang diluluskan.

    Sesebuah syarikat boleh menuntut EPSP jika syarikat itu bermastautin di Malaysia dan telah melakukan perbelanjaan modal bagi tujuan projek perkhidmatan yang diluluskan oleh Menteri. Syarikat mesti membuat permohonan secara bertulis, dan elaun ini tertakluk kepada kelulusan Menteri.

    Perbelanjaan modal yang layak ialah perbelanjaan modal yang dilakukan ke atas loji, jentera, lekapan, premis, bangunan, struktur atau kerja yang bersifat kekal, tidak termasuk aset untuk pengarah atau kakitangan. Elaun ini tersedia selama lima tahun, bermula dari tarikh kuat kuasa kelulusan yang ditentukan oleh Menteri, dan merupakan amaun tidak kurang daripada 60% atas perbelanjaan modal yang dilakukan dalam tempoh asas bagi sesuatu TT, terhad kepada 70% daripada pendapatan berkanun (atau mana-mana kadar lain yang ditentukan oleh Menteri dalam surat kelulusan).

    EPSP yang tidak diserap boleh dibawa ke hadapan untuk tempoh maksimum tujuh TT berturut-turut selepas tamat tempoh lima TT elaun pelaburan tersebut, dan sebarang baki yang tinggal selepas tujuh TT berturut-turut itu akan diabaikan.

  5. Ketidakpakaian

    Sesebuah syarikat tidak berhak menuntut EPS bagi tempoh di mana syarikat itu telah diberikan mana-mana insentif berikut:

    (1)
    Taraf perintis di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (“APP”), di mana sebuah syarikat yang diberi taraf perintis di bawah APP sedang memohon atau berhasrat untuk memohon suatu sijil perintis, atau di mana sebuah syarikat yang diberi taraf sijil perintis di bawah APP dan tempoh perintis belum tamat;
    (2)
    Elaun Cukai Pelaburan (“ECP”) di bawah APP, di mana sebuah syarikat telah diberi ECP dan tempoh ECP belum tamat, atau di mana sebuah syarikat telah diluluskan ECP dan belum lagi menyerahkan kelulusan ECP;
    (3)
    Insentif di bawah Akta Galakan Pelaburan 1968 (“AGP”), di mana sebuah syarikat telah diberi kelulusan galakan taraf perintis, galakan penggunaan buruh atau penempatan dan kredit cukai pelaburan (“KCP”) di bawah AGP dan tempoh pelepasan cukai belum tamat, atau di mana sebuah syarikat telah diberi kelulusan KCP di bawah AGP dan telah melakukan perbelanjaan modal yang layak untuk KCP walaupun AGP telah dimansuhkan;
    (4)
    Elaun pelarasan perindustrian di bawah APP berhubung dengan suatu aktiviti pengilangan atau produk pengilangan, di mana kelulusan diberi sebelum berkuat kuasanya seksyen 27 Akta Penggalakan Pelaburan (Pindaan) 2007;
    (5)
    Relif kumpulan untuk syarikat di bawah seksyen 44A ACP;
    (6)
    Potongan di bawah mana-mana kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen 154 ACP, di mana kaedah-kaedah tersebut memperuntukkan bahawa EPS tidak terpakai kepada syarikat atau orang itu; dan
    (7)
    Pengecualian cukai atas pendapatan yang dibuat melalui perintah pengecualian di bawah perenggan 127(3)(b), atau pengecualian di bawah subseksyen 127(3A) ACP, di mana ia memperuntukkan bahawa EPS tidak terpakai kepada syarikat atau orang itu.

    Jadual 7B tidak terpakai kepada syarikat bagi tempoh di mana syarikat itu telah diberikan pengecualian di bawah seksyen 127 ACP.

  6. Ringkasan Perbandingan Antara Jadual 7A dan Jadual 7B

    Elaun Pelaburan Semula (Jadual 7A)

    Elaun Pelaburan Sektor Perkhidmatan (Schedule 7B)

    Tarikh kuat kuasa

    1 Januari 1979

    TT 1996

    Tujuan

    Untuk menggalakkan pelaburan semula dalam sektor pengilangan dan pertanian berhubung projek yang layak

    Untuk menggalakkan pelaburan dalam projek perkhidmatan yang diluluskan

    Jenis projek

    Pembesaran, pemodenan, pengautomasian atau kepelbagaian perniagaan pengilangan sedia ada, atau projek pertanian yang layak

    Projek sektor perkhidmatan dalam pengangkutan, komunikasi, utiliti atau mana-mana subsektor lain yang diluluskan oleh Menteri

    Perbelanjaan modal yang layak

    Loji atau jentera bagi pengilangan; perbelanjaan modal yang ditetapkan bagi projek pertanian

    Loji, jentera, lekapan, premis, bangunan, struktur atau kerja yang bersifat kekal

    Syarat kelayakan

    Syarikat bermastautin, beroperasi sekurang-kurangnya 36 bulan, dengan perbelanjaan modal ke atas projek yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang berkaitan

    Syarikat bermastautin dengan perbelanjaan modal ke atas projek perkhidmatan yang diluluskan oleh Menteri

    Kuasa melulus

    Tiada kelulusan bertulis daripada LHDNM; tuntutan kendiri melalui BNCP, tertakluk kepada audit LHDNM

    Permohonan bertulis dan kelulusan Menteri diperlukan

    Tempoh kelayakan

    15 TT berturut-turut dari TT tuntutan pertama

    Lima tahun dari tarikh kuat kuasa kelulusan

    Kadar elaun

    60% daripada perbelanjaan modal, terhad kepada 70% daripada pendapatan berkanun (atau 100% jika tahap produktiviti yang ditetapkan dicapai)

    Tidak kurang daripada 60% daripada perbelanjaan modal, terhad kepada 70% daripada pendapatan berkanun (atau kadar dalam surat kelulusan)

    Elaun tidak dapat diserap

    Dibawa ke hadapan sehingga tujuh TT berturut-turut selepas tempoh 15 TT

    Dibawa ke hadapan sehingga tujuh TT berturut-turut selepas tempoh lima TT

    Ketidakpakaian

    Di mana syarikat menikmati insentif seperti taraf perintis, ECP di bawah APP, relif kumpulan atau pengecualian tertentu

    Di mana syarikat telah diberikan pengecualian di bawah seksyen 127 ACP


Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di https://www.hasil.gov.my/en

Kumpulan KAIZEN, bersama-sama dengan firma sekutunya di Malaysia, bersedia membantu pelanggan untuk melaksanakan segala urusan pematuhan ini bagi memastikan syarikat Malaysia anda sentiasa berada dalam status kedudukan yang baik (good standing). Sila hubungi dan berbincang dengan akauntan profesional kani di Kaizen untuk penjelasan lanjut.

Penafian

Segala maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian maklumat sahaja dan bukan merupakan nasihat profesional. Kaizen tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang timbul daripada penggunaan maklumat tersebut.

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bantuan, sila layari laman web rasmi Kaizen CPA Limited di www.kaizencpa.com atau hubungi kami melalui saluran berikut untuk bercakap dengan para professional kami:

E-mel: info@kaizencpa.com
Tel: +852 2341 1444
Telefon bimbit: +852 5616 4140, +86 152 1943 4614
WhatsApp/Line/WeChat: +852 5616 4140
Skype: kaizencpa

Muat turun: Perbezaan Antara Elaun Jadual 7A & 7B di Malaysia [PDF]

Bahasa

English

繁體中文

日本語

CHINA

Tutup